Syria semalam mengaku buat kali pertama bahawa ia memiliki senjata kimia dan biologi sekali gus memberi amaran akan menggunakannya jika diserang tentera asing, lapor agensi berita Reuters.
Amaran itu dibuat oleh jurucakap Kementerian Luar, Jihad Makdisi pada satu sidang akhbar di Damsyik.
Sebelum ini, Israel menyatakan kemungkinan simpanan senjata kimia di Syria akan dirampas para pejuang Lebanon yang bersekutu dengan Al-Qaeda.
"Syria tidak akan menggunakan sebarang senjata kimia atau senjata bukan konvensional terhadap orang awam dan akan menggunakannya hanya dalam kes diserang pihak luar.
"Senjata-senjata itu disimpan dan dikawal tentera Syria," kata Jihad.
Sementara itu, Pentadbiran Amerika Syarikat (AS) secara rahsia cuba menyekat penghantaran senjata dan minyak dari Iran ke Syria dalam usaha mempercepatkan kejatuhan Presiden Bashar Al-Assad, lapor akhbar Wall Street Journal kelmarin.
Memetik kenyataan beberapa pegawai AS, akhbar itu melaporkan usaha-usaha dilakukan supaya Iraq menutup ruang udara untuk penerbangan dari Iran ke Syria.
Ia ditutup kerana Iran dipercayai membekalkan senjata untuk tentera Bashar.
Laporan Wall Street Journal itu disiarkan selepas tentera Syria meningkatkan serangan di kawasan penempatan Barzeh di Damsyik yang menyebabkan ramai penduduknya melarikan diri.
Perkembangan tersebut turut berlaku selepas seorang komander pemberontak muncul dalam satu klip video untuk mengumumkan bahawa perang bagi membebaskan bandar kedua terbesar di Syria, Aleppo telah bermula.
Dalam perkembangan berkaitan, agensi berita rasmi SANA melaporkan, tentera pemerintah telah mengusir para pemberontak dari kawasan penempatan Qaboon di Damsyik.
-Sumber-
No comments:
Post a Comment