Tahukah Anda!!? - Kalibrasi Inflight



TAHUKAH anda bahawa hasil pemetaan yang digunakan untuk GPS (Global Positioning System) adalah daripada data yang diperolehi dari remote sensing?

Apakah sebenarnya remote sensing atau juga dikenali sebagai penderiaan jauh dan aplikasinya di dalam kehidupan harian?

Penderiaan jauh adalah sains untuk mendapatkan dan menganalisis maklumat tentang objek atau fenomena dari jauh.

Dalam penggunaan moden, istilah ini secara amnya merujuk kepada penggunaan teknologi sensor udara atau angkasa lepas untuk mengesan dan mengklasifikasi objek di Bumi (kedua-dua di permukaan, dan di dalam atmosfera dan lautan) dengan cara isyarat disebarkan (contohnya radiasi yang terhasil dari kapal terbang atau satelit).

Remote sensing

Maklumat yang dihasilkan menerusi imej optikal penderiaan jauh amat bergantung kepada ketepatan pembalikan tenaga dari objek di bumi.

Sekiranya terdapat sebarang masalah teknikal sama ada kegagalan penuh ataupun sebahagian ketepatan nilai pembalikan tenaga yang dicerap oleh sensor satelit, maklumat yang diperoleh akan mengandungi sisihan (error).

Oleh sebab itu, beberapa proses penambahbaikan (corrective measures) yang dikenali sebagai Kalibrasi Inflight (Inflight Calibration) dilakukan untuk memastikan sisihan secara tersirat dapat dikurangkan kepada tahap minimum agar imej yang diperoleh boleh digunakan (acceptable level)

Sebagai contoh, kebanyakan imej satelit optikal terletak di dalam lingkungan kawasan visible (boleh nampak) dan Near-InfraRed yang senantiasa diganggu oleh titisan air dan gas-gas dalam atmosfera bumi.

Cahaya matahari yang tembus ke permukaan akan mengalami kesan atmosfera yang mana tenaga bersih (net radiance) cahaya sentiasa dihalang.

Menerusi konsep kalibrasi ini, pembetulan imej optikal satelit dapat dilakukan.

Astronautic Technology Sdn. Bhd. (ATSB) adalah sebuah syarikat kerajaan yang turut menyediakan khidmat koordinasi atau penyeliaan dalam kerja pembetulanKalibrasi Inflight imej satelit dan sentiasa memantau lokasi ataupun koordinat laluan satelit Malaysia.

Perancangan akan dibuat seminggu sebelum laluan satelit dijangka dilakukan di dua lokasi lapangan kalibrasi iaitu Pularis Temerloh, Pahang dan Malim Nawar, Perak.

Pelbagai intrumentasi turut digunakan untuk proses kerja pembetulan ini seperti Spectroradiometer, sun photometer, stesen cuaca dan GPS.

Secara purata, seramai 10 warga kerja diperlukan untuk kerja Kalibrasi Inflight pada suatu masa kerana jangka waktu yang amat singkat iaitu hanya lima minit diperolehi apabila satelit merentasi ruangan angkasa di lokasi lapangan.

Manfaat

Aplikasi remote sensing telah digunakan secara meluas di dalam pelbagai sektor terutama bidang pertanian, geologi, pengairan, perhutanan, pencarian galian dan sebagainya di Malaysia.

Sebagai contoh, Kuala Terengganu merupakan sebuah bandar yang terletak di kawasan pantai timur Semenanjung Malaysia serta terkenal sebagai kawasan penyu bertelur yang kini terancam akibat hakisan pantai.

Pemantauan zon pantai Kuala Terengganu adalah satu tugas yang penting dalam usaha untuk pembangunan mapan dan perlindungan alam sekitar.

Shoreline adalah salah satu ciri-ciri penting linear di bumi yang mempamerkan sifat dinamik.

Pengekstrakan pesisiran pantai atau pinggir pantai dalam pelbagai masa adalah kerja asas untuk pemantauan zon pantai.

Imej RazakSAT® boleh memainkan peranan penting untuk memantau pesisir pantai dalam aspek kajian pemantauan serta pemetaan perubahan pesisir pantai Kuala Terengganu menggunakan RazakSAT® data dan lain-lain resolusi sensor berkuasa tinggi.

Inisiatif aplikasi remote sensing dalam pertanian pula seperti di Kundasang dikenal pasti sebagai kawasan yang sesuai untuk tanaman kubis di Sabah.

Ia akan menjadi satu kajian perintis yang menggunakan alat yang kompleks dan canggih yang boleh membantu mengurangkan kos penyelenggaraan, meningkatkan hasil tanaman dan memelihara alam sekitar.

Dalam kajian perintis ini, keadaan tanah akan dinilai dengan teliti dengan menggunakan contoh tanah tapak yang dijalankan serentak dengan imej satelit yang telah di kalibrasi atau penentu ukuran.

Menerusi kalibrasi, kajian dalam menghasilkan keputusan yang tepat akan membawa kepada suatu formula demonstrasi yang berjaya untuk keputusan pertanian yang tepat dan dapat dijadikan amalan pertanian moden.

Boleh dirumuskan bahawa proses kalibrasi yang berperingkat adalah penting. Meskipun ia rumit dan kompleks namun keberkesanan proses tersebut dapat menghasilkan imej yang boleh dimanfaatkan untuk pelbagai kegunaan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Lain!!?