Sadis!!? - Kejam! Mayat Rentung Disahkan Adik Nurul Nadirah






Kejam!

Hanya itulah yang penulis boleh simpulkan terhadap misteri kehilangan adik
Nurul Nadirah Abdullah, 5, atau lebih dikenali sebagai Dirang.

Untuk pengetahuan anda, Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Roslan Zainuddin hari ini mengesahkan mayat rentung ditemui di Nusa Damai, dekat Seri Alam pada 8 Mac lalu sebagai kanak-kanak malang yang dilaporkan hilang itu.

Beliau berkata, hasil ujian DNA yang dijalankan terhadap mayat berkenaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kimia pada Isnin mengesahkannya.

“Berdasarkan pemeriksaan dijalankan di tempat kejadian, kami menemui serpihan tulang dan berjaya mendapatkan sampel DNA yang kemudiannya dihantar ke makmal dan sepadan dengan DNA ibunya,” katanya seperti yang dipetik daripada Bernama.

Menurutnya, walaupun siasatan awal mendapati mayat rentung itu milik manusia dewasa, namun hasil ujian DNA yang dikeluarkan itu mendapati ia adalah milik Dirang yang dilaporkan hilang sejak 1 Mac.

Katanya, faktor keadaan mayat yang rentung teruk juga menyebabkan pengecaman sukar dilakukan oleh pihaknya.

Perkembangan terbaru itu sekaligus menamatkan misteri kehilangan Nurul Nadhirah yang sebelum ini dilaporkan hilang ketika keluar membeli mi segera dan telur kira-kira pukul 11 pagi, di kedai runcit di kawasan rumahnya di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam.

Berikutan itu satu pasukan siasatan khas telah ditubuhkan dengan diketuai oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Datuk Amer Awal dan dibantu pasukan dari Bukit Aman bagi menyelesaikan kes itu.

Kes itu turut mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk pihak swasta dan orang perseorang yang turut sama membantu mencari dengan mengedarkan poster mengenai kehilangan mangsa. Hasil siasatan sebelum ini, katanya polis telah menahan empat suspek termasuk bapa kandung mangsa dan jirannya bagi membantu siasatan berhubung kehilangan kanak-kanak itu.

Roslan berkata, berikutan hasil ujian itu, polis kini menyiasat kes tersebut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh berbanding sebelum ini yang disiasat atas aduan orang hilang.

Menurutnya, tempoh tahanan reman keempat-empat suspek akan dilanjutkan bagi membantu siasatan.

Apa sebenarnya yang sudah jadi dalam masyarakat kita?

Walau apa pun sebab dan motifnya, penulis tak sangka masih ada manusia bertopengkan syaitan yang tidak mempunyai hati dan sifat kemanusiaan.

Dirang tidak tahu apa-apa. Dirang tidak berdosa.

Membunuh dan membakar adik kecil ini satu perbuatan yang tidak boleh diterima, tidak berperikemanusiaan!

Kita tidak mungkin lupa pada 20 Ogos 2007, di mana adik Nurin Jazlin, murid tahun dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak dilaporkan hilang setelah keluar bersendirian ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1 Wangsa Maju.

Mayatnya ditemui 27 hari kemudian dalam sebuah beg yang diletakkan di hadapan premis perniagaan di Petaling Jaya dan hasil bedah siasat mendapati Nurin mati akibat didera secara seksual.

Kita tidak mungkin lupa misteri kehilangan adik Sharlinie Mohd. Nashar, yang sehingga kini tidak dapat dikesan…entah masih hidup atau sebaliknya.

Dan kita hari ini sekali lagi ‘dihidangkan’ kekejaman yang sama.

Entah esok atau lusa siapa pula yang menjadi mangsa, Nauzubillah.

Masihkah kita tidak mengambil iktibar daripadanya?

Al-Fatihah buat adik Nurul Nadirah Abdullah


-Sumber-

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Lain!!?