Hahh!!? - Pelajar Tak tahu mengucap





Gambar Hiasan

Sungguh mengejutkan apabila kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di sekolah di Kuala Lumpur, mendapati ada di kalangan pelajar yang tidak mempunyai pengetahuan agama, termasuk tidak tahu mengucap dua kalimah syahadah.

Ketua pengarahnya, Datuk Othman Mustapha berkata, kajian itu dibuat tahun lalu membabitkan lima kelas di sekolah itu dan hasil kajian mendapati hanya pelajar di tiga kelas yang mempunyai pengetahuan agama.

“Sementara pelajar dalam dua kelas lagi tidak mempunyai pengetahuan mengenai agama Islam, termasuk ada yang mengaku tidak tahu mengucap dua kalimah syahadah.

“Keputusan kajian ini mengejutkan kami, jika mengucap dua kalimah syahadah pun tak boleh, macam mana mereka nak solat,” katanya ketika merasmikan Penutup Program Pengukuhan Akhlak ‘Smart Solat’ Remaja di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini, kelmarin.

Program itu dianjurkan Pertubuhan Pembangunan dan Transformasi Insan Malaysia (P-TIM) yang bertujuan mengajak golongan remaja dan belia menguasai dan memahami asas solat.

Othman berkata, pada 1995, kajian seumpama itu pernah dilakukan terhadap 6,779 pelajar Melayu yang gagal subjek agama dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Katanya, keputusan kajian juga mengejutkan apabila 1,616 gagal mengucap, 1553 gagal dalam aspek Rukun Islam dan 1,901 lagi gagal dalam aspek Rukun Iman.

“Ini kajian yang dilakukan pada 1995 dan sekarang kita percaya mereka ini sudah dewasa dan mungkin sudah mempunyai keluarga dan anak, dan sekiranya mereka tidak berubah tidak mustahil anak mereka mewarisi sifat sama,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata selain penguatkuasaan undang-undang, isu keruntuhan akhlak di kalangan remaja di negara ini mampu ditangani melalui pendekatan pendidikan solat.

Katanya, senario gejala sosial di kalangan remaja dan belia ketika ini menakutkan, kebanyakan mereka terbabit dengan penyalahgunaan dadah, merokok, melepak di pasar raya, bohsia, ponteng sekolah, zina dan menonton video lucah. “Kebanyakan remaja yang bermasalah menghadapi masalah solat, iaitu mereka tidak solat di rumah, apatah lagi di masjid atau surau.

“Namun, lebih menyedihkan anak ini tidak pernah nampak ibu bapa mereka bersolat. Walaupun mereka bukan anak kami tetapi atas nama kemanusiaan, kami sangat bersimpati dengan mereka,” katanya.

Justeru, katanya program Smart Solat yang dianjurkan P-TIM sangat bertepatan dengan waktunya bagi membina benteng ampuh dalam diri anak menangani masalah keruntuhan akhlak di kalangan remaja dan belia.

“Bila anak solat dengan sempurna, Insya-Allah mereka terpelihara daripada melakukan perkara negatif dan mereka boleh menjaga diri “Ini kesan suntikan iman yang membajai hati dan sanubari anak kita yang disebut sebagai taqwa,” katanya.



-Sumber-

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Lain!!?