BESUT – Pelik tetapi benar tetapi itulah realiti kebolehan luar biasa
seorang pelajar tingkatan lima yang secara tiba-tiba boleh bertutur
pelbagai bahasa selepas dia terlibat dalam kemala-ngan jalan raya pada
jam 2 petang, 13 Januari lalu.
Noraini Ismail, 17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)
Nasiruddin Shah, Alor Lintang boleh bertutur bahasa Korea dan Mandarin
dengan lancar walaupun sepanjang hayatnya tidak pernah ikuti kelas
bahasa itu.
Menurutnya, kebolehan luar biasa itu berlaku selepas empat hari dia
terbabit dalam kemalangan apabila motosikal yang dibonceng dirempuh oleh
sebuah lori kecil berhampiran persimpangan lampu isyarat Alor Lintang
ketika perjalanan pulang dari sekolah.
“Ketika kejadian saya membonceng motosikal yang ditunggang abang
saya, Jefri, 18, yang tiba-tiba dilanggar sebuah lori dari arah belakang
menyebabkan saya terjatuh dan terhantuk kepala atas jalan. Mujur saya
pakai topi keledar,” katanya.
Sementara itu menurut bapanya, Ismail Salleh, 46, kemalangan itu
menyebabkan Noraini koma selama 11 jam dan sebaik sedar dia berada di
Unit Kecemasan, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang
Kerian, Kelantan.
Kata Ismail, selepas doktor menjalankan imbasan kali pertama mendapati terdapat darah beku di bahagian belakang kepalanya.
Bagaimanapun katanya, ketika dilakukan imabasan kali kedua untuk
melakukan pembedahan, doktor terperanjat kerana mendapati darah beku
tidak ada lagi.
“Bagi mengesahkan perkara itu, doktor HUSM mengulangi ujianebanyak
tiga kali namun ternyata darah beku dikesan peringkat awal memang tidak
ada,” katanya.
Bercakap bahasa Korea selepas terjaga dari tidur
Ismail berkata, pada jam 5 petang pada hari keempat selepas
dibenarkan pulang ke rumah, sebaik Noraini terjaga daripada tidur
tiba-tiba dia bercakap bahasa Korea.
Katanya, anaknya itu meminta air daripada ibunya dalam bahasa Korea
namun ketika itu ibunya tidak mengetahui bahasa apakah yang dituturkan
Noraini.
“Kami sekeluarga tidak faham maksudnya dan langsung tidak tahu bahasa
Korea kerana ia mirip bahasa Cina tetapi selepas dia menunjukkan
isyarat ingin minum air baru ibunya beri air,” katanya.
Kata Ismail, selain Korea dia juga kadang-kadang bertutur dalam
bahasa Mandarin dan paling aneh lagi ketika dia berbahasa tersebut dia
langsung tidak akan boleh bertutur dalam bahasa Melayu.
Pada mulanya, Ismail dan keluarga meragui maksud bahasa yang
dituturkan itu betul atau tidak tetapi apabila Noraini menonton cerita
Korea di televisyen, dia dapat menterjemahkan cerita tersebut dengan
tepat seperti sarikata dipaparkan pada skrin televisyen yang ditutup
dengan tangan oleh ahli keluarganya.
Menurut Noraini, seorang doktor pakar berbangsa Cina di HUSM yang
menjalankan rawatan susulan ke atasnya baru-baru ini juga menganggap
kejadian dia boleh bertutur bahasa Cina juga aneh malahan kejadian itu
pertama kali ditemuinya semenjak 17 tahun bertugas sebagai doktor.
“Doktor itu minta saya membaca nombor dalam bahasa Cina dan apa yang saya sebut adalah benar,” katanya.
Tidak boleh bercakap loghat Kelantan
Satu lagi keanehan pada Noraini ialah dia kini bertutur bahasa baku
sepenuhnya malahan dia langsung tidak boleh bercakap loghat Kelantan
lagi seperti pertuturan hariannya sebelum ini.
Menurutnya ibunya, Masina Daud, 48, sejak kemalangan anak keenam
daripada tujuh beradik itu hanya boleh bercakap bahasa Melayu standard
(baku) seperti loghat Kuala Lumpur sahaja manakala bahasa Kelantan
sekarang dia boleh menyebut beberapa perkataan, seperti ‘mok’ dan
‘ayah’.
“Sebelum ini dia nak sebut perkataan mok (emak) memang langsung tidak
boleh tetapi kalau perkataan Mama lancar. Saya pun hairan bagaimanana
pertuturan boleh berubah,” katanya.
Dalam pada itu Noraini berkata, sejak belakangan ini dia hanya
bertutur dalam bahasa Cina atau Korea sekiranya dia tidur semula selepas
menunaikan solat Subuh.
“Kalau saya tidur semula selepas solat Subuh pasti apabila bangun
saya tidak boleh langsung bercakap bahasa Melayu sebaliknya hanya boleh
bertutur dalam bahasa Korea yang berlarutan sehingga jam 11 pagi pada
hari sama sebelum boleh bertutur semula bahasa Melayu.
“Kalau saya tidak tidur selepas solat Subuh saya tidak akan bercakap
korea,” katanya yang juga hairan dengan perubahan yang dialami.
Katanya, dia memahami bahasa Korea atau Cina di kaca televisyen hanya
ketika dia boleh bertutur bahasa tersebut tetapi apabila ketika boleh
bercakap bahasa Melayu, dia langsung tidak faham makna bahasa berkenaan.
Jalani rawatan alternatif
Bapanya pula agak tertekan dengan masalah yang dihidapi anaknya dan
sudah beberapa kali dia membawa anaknya menjalani rawatan alternatif
namun setakat ini tidak berhasil.
Kata Ismail, lebih memeritkan keadaan kerana boleh dikatakan setiap
hari sama ada sebelum atau selepas Maghrib, Noraini akan tiba-tiba
diserang sakit kepala menyebabkan dia terpaksa dihantar ke Hospital
Besut untuk mendapat suntikan.
“Sekarang hampir setiap hari saya terpaksa membawa dia mendapat
suntikan kerana Noraini tidak akan sedarkan diri jika lambat dibawa ke
hospital,” katanya yang tinggal di Program Perumahan Rakyat Termiskin
(PPRT) di sini.
Ismail merayu orang ramai atau ahli perubatan alternatif untuk tampil
membantu menyelesaikan masalah yang dihidapi anaknya kerana dia tidak
berkemampuan untuk lebih kerap membawa anaknya mendapatkan rawatan.
Ismail menetap di alamat 2672, Kampung Baru Gong Medang dekat Tembila dekat Kampung Raja.
No comments:
Post a Comment